Thursday, 14 November 2013

SMK Agama Slim River - Sekolah Angkat Dana KCM


Sumbangan sebanyak RM 2,000 telah diberikan kepada SMKA Slim River untuk tujuan pembangunan fasiliti sekolah. Majlis ini dihadiri sendiri oleh pengetua Tuan Haji Mohd Arifine Bin Daud dan penyampaian ini dilakukan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dana KCM Dr Mohamed Nazim Bin Adbul Rahman. 



SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH



Idea penubuhan SMK Agama Slim River dicetuskan oleh Ustaz Mahyuddin Bin Musa, seorang Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1975/76. Sekolah yang terletak di tepi Lebuhraya Slim River-Kuala Lumpur ini mula dibina pada tahun 1991 berkonsepkan sekolah berasrama penuh berteraskan penghayatan Islam sebagai cara hidup. Kecemerlangan sekolah ini terserlah apabila pernah dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang, pelajarnya juga pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Catur Remaja ASEAN dan pernah merangkul pingat emas dalam Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia. SMKA Slim River kini ditadbir oleh 3 orang penolong kanan, 54 guru dan 17 staf sokongan yang komited dan berdedikasi tinggi.






HARAPAN PENGETUA : TUAN HAJI MOHD ARIFINE BIN DAUD


Pihak sekolah menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan para pelajar yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing, berhemah tinggi, bersahsiah mulia, berdisplin serta memiliki minda kelas pertama. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Dana KCM yang sudi menghulurkan bantuan dengan menjayakan program kecemerlangan pelajar kami melalui seminar ilmiah yang berimpak tinggi.


GURU CONTOH : ENCIK ISMAIL BIN HASHIM

Beliau merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah ini yang telah banyak berjasa di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Encik Ismail merupakan lulusan Maktab Perguruan Islam, Kuala Lumpur serta pemegang Ijazah Sarjana Muda (Bimbingan dan Kaunseling) dari UPSI dan memiliki Ijazah Sarjana Sains (Bimbingan dan Kaunseling) dari UPM.


PELAJAR CONTOH : MUHAMMAD MUZAKIR BIN MOHD KAMIL

Anak sulung daripada 4 orang adik-beradik ini merupakan cahaya mata kebanggaan En. Kamil B. Ismail dan Puan Norhaya Bt. Abdul Hamid. Kecemerlangan beliau terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi dengan pencapaian 5A dalam ujian UPSR sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah ini. Beliau juga berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan PMR dan dinobatkan sebagai salah seorang pelajar terbaik peringkat Negeri Perak. Kematangan beliau telah melayakkan dirinya untuk menyandang jawatan Ketua Umum, Pengerusi Persatuan Sains dan Matematik serta Bendahari Kelab Ping Pong. Di samping itu, beliau juga bergiat aktif dalam kokurikulum dan pernah mewakili sekolah untuk sukan bola sepak, bola baling, bola tampar, skuasy dan olahraga. Beliau juga merupakan ahli pasukan Debat Bahasa Arab dan pernah beraksi di peringkat kebangsaan tahun 2012 dan 2013.